Animated Social Gadget - Blogger And Wordpress Tips

Friday, June 17, 2011

Renungan kita bersama


Saat aku melontarkan pandangan ke luar jendela, aku melihat pelbagai ragam manusia yang terlalu sibuk dengan urusan duniawi. Manusia yang terlalu sibuk bekerja, mengumpul harta, mengejar cita-cita. Namun, pernahkah manusia ini meluangkan masa untuk mengenali Allah, mengingati Allah iaitu Tuhan Pencipta Alam Semesta? Aku tidak mengatakan bahawa aku sentiasa mengingati Allah kerana aku juga manusia biasa. Imanku juga ada pasang dan surutnya. Kadang-kadang, aku juga pernah hanyut dengan urusan dunia. Kerana kita ialah manusia, bukannya malaikat yang sentiasa patuh kepada Allah.

Ingatlah Allah itu ada di mana-mana sahaja. Dia sentiasa bersama kita. Dia sentiasa menyayangi kita. Buktinya, setiap hari kita diuji. Kita diberi nikmat dan juga musibah. Setiap hari kita mampu menyaksikan keindahan ciptaan Tuhan. Setiap hari, kita mampu mendengar laungan azan dan setiap hari kita mampu berbual bersama teman-teman. Bukankah itu nikmat yang sangat berharga buat diri kita? Bukankah nikmat itu merupakan ujian buat diri kita? Allah ingin menguji sejauh mana tahap kesyukuran kita terhadapNya.
Setiap hari, kita juga diuji dengan musibah, keletihan dalam menuntut ilmu, menghadapi pelbagai ragam manusia. Lalu, kita mengeluh dengan keletihan itu. Namun, cuba kita bandingkan kesukaran yang kita alami pada hari ini dengan kesukaran yang dialami oleh Rasulullah s.a.w kita yang tercinta. Perjuangan baginda dan juga para sahabat dalam menyebarkan Islam mengalami tentangan hebat daripada orang kafir. Namun, pernahkah mereka mengeluh dengan ujian itu? Sudah pastinya tidak. Jadi, layakkah kita untuk mengeluh dengan ujian yang tersangat kecil pada hari ini jika dibandingkan dengan ujian umat Islam terdahulu.
Segala nikmat dan musibah yang menimpa menunjukkan Allah sentiasa menyayangi kita. Allah sentiasa mengingati kita. Namun, adakahkita juga sentiasa mengingati Allah. Atau, kita terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga kita terlupa untuk menyebut nama Allah? Pernahkah kita berbicara bersama teman-teman tentang kebesaran Allah? Tepuk dada, tanya iman.

No comments: