Animated Social Gadget - Blogger And Wordpress Tips

Saturday, April 20, 2013

bab 2


“Hoi Hafiz! Nak ke mana?” kedengaran satu suara yang garau daripada bawah pokok. Pagi itu, Hafiz dalam perjalanan untuk ke rumah salah seorang penduduk kampung untuk dibaiki atapnya.

“Aku nak pergi kerjalah,” Hafiz menjawab pendek. Dia tidak mahu membazir masa dengan orang yang kurang dikenalinya itu. Orang tersebut bernama Rizal, pernah menjadi senior sekolahnya namun dibuang sekolah kerana melakukan kes disiplin yang melampau.

“Ala, jom la lepak sini dulu, sembang-sembang jap,” Rizal memujuk. Mungkin mencari teman untuk melepak bersama.

“Mana kawan kau yang lain?” Hafiz bertanya kerana kebiasaannya Rizal akan melepak bersama kawan-kawannya sambil bersembang dan bergelak ketawa. Kadang-kadang mereka akan menganggu penduduk kampung yang lalu berdekatan tempat lepak mereka.

Rizal mengangkat bahu. “Entah, masjid mungkin,” Rizal tersengih menampakkan giginya.

“Jom la duduk sini,” Rizal masih memujuk.

“Aku ada kerja,” Hafiz serba salah.

“Ala, lepak sekejap je. Aku bosan ni,” Rizal masih lagi tidak mengalah.

Hafiz menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Keliru untuk membuat keputusan.

“Aku ada sesuatu untuk kau,” Rizal cuba mengumpan Hafiz.

“Apa dia?”

“Nah,” Rizal menghulurkan sebotol air.

“Air apa ni?” Hafiz bertanya ragu-ragu.

“Rasa dulu. Lepas minum semua masalah hilang,”

“Kau jangan buat lawak. Kau letak sihir apa dalam air ni sampai boleh hilangkan masalah?” Hafiz masih tidak mempercayai lelaki di hadapannya itu.

“Ni arak la, arak. Tahu?” Rizal berterus- terang.

“Kau…kau minum arak?” Hafiz terkejut. Walapun dia tidak habis bersekolah, dia juga tahu bahawa arak itu haram.

“Ye!” Rizal berkata tanpa segan silu.

“Ala, nanti dah tua kita bertaubat la. Waktu muda hanya sekali. Waktu ni la kita nak berseronok!” Rizal berkata lagi. Kelihatan seperti orang mabuk lagaknya.

“Nah, rasalah,” Rizal menawarkan air itu sekali lagi.

“Tak nak, terima kasih,” Hafiz menolak.

“Ala, kau ni….bosan la,”
“Meh, duduk sini,” Rizal menarik tangan Hafiz.

Hafiz yang tidak menyangka tindakan Rizal itu terdorong ke hadapan, terduduk di sebelah Rizal. Tangan Rizal diletakkan di atas bahu Hafiz.

“Kau tengok dunia ni, cantik kan?” Rizal bertanya sambil menunjuk ke arah langit dan pokok yang berada di sekitar mereka.

“Kau tahu, Tuhan cipta dunia ni cantik-cantik bersebab.  Supaya kita boleh berseronok atas dunia ni sebelum mati,”

Hafiz hanya mendengar kata-kata orang yang pernah menjadi senior sekolahnya itu. Rizal memberitahunya perlbagai perkara yang tidak pernah terfikir olehnya sebelum ini. Hafiz semakin galak mendengar falsafah – falsafah daripada Rizal sehingga terlupa akan kerjanya tadi.

Beberapa jam kemudian..

“Alamak! Aku terlupa, aku dah janji nak baiki atap Pak Seman,” Hafiz berkata. Dia baru teringat akan perkara itu.

“Esok kan ada. Kau pergi je la esok,” Rizal masih belum puas bercerita kepada Hafiz.

“Tak, aku dah janji hari ni,” Hafiz bertegas.

“Aku pergi dulu, esok aku datang lagi,” Hafiz terus berlalu dengan basikalnya.

Sejak hari itu, hampir setiap hari Hafiz melepak bersama Rizal terutama sekali selepas Iman Hafizah pulang semula ke sekolahnya di Kuala Lumpur. Hafiz sebenarnya tidak mempunyai ramai kawan melainkan adiknya seorang sahaja. Dia tidak berkesempatan untuk bergaul dengan remaja-remaja di kampungnya dek kerana sibuk berkerja mencari duit. Namun, sejak melepak bersama Rizal dia merasakan bahawa dia mempunyai teman. Sebab itu jugalah yang mendorongnya untuk menghabiskan masanya bersama Rizal. Tetapi, dia belum pernah menyentuh air yang ditawarkan oleh Rizal itu.

**********************************************************************************
Pada waktu yang sama di daerah yang berbeza…

“Kamil, ana..” Muaz seperti mahu berkata sesuatu tetapi ragu-ragu.

“Ya, akhi. Kenapa dengan enta. Muka berkerut, macam ada masalah berat yang tertanggung,” Kamil bertanya. Bimbang melihat sahabatnya seperti itu. Kebiasaanya, Muaz adalah orang yang cool dan ceria.

Muaz menelefon Kamil seawal 7.00 pagi tadi. Katanya ingin bertemu Kamil kerana ada sesuatu yang sedang menganggu pemikirannya. Kamil bimbang kerana suara Muaz di talian amat berbeza. Muaz resah, seperti ditimpa masalah yang sangat berat. Mereka berjanji untuk bertemu di Radix Fried Chicken berdekatan bangunan Yayasan Terengganu.

“Ana perlukan pendapat enta. Tapi, enta perlu berjanji supaya enta akan bersangka baik dengan ana,” Muaz memandang sahabat di hadapannya itu. Matanya memandang tepat ke dalam mata Kamil, mengharapkan pengertian daripada sahabat yang amat disayanginya kerana Allah itu.

“Baik, insya Allah,” Kamil mengangguk sambil tersenyum.

“Ana terpandang seorang perempuan di fakulti kita dan sejak beberapa hari ini ana asyik terbayang mukanya. Ana cuba melawan, istighfar, menyibukkan diri namun bayangannya masih belum hilang. Ana buntu. Ana takut perasaan ini menyebabkan ana makin menjauh dengan Allah. Ana takut perasaan ini akan menganggu kerja dakwah kita, tanggungjawab kita,” Muaz meluahkan segalanya. Suaranya sedikit sebak, menunjukkan bahawa dia memang rasa bersalah dengan perasaannya itu. Air yang dibeli di hadapannya tidak terteguk lagi dek kerana masalah itu.

Kamil tersenyum lagi. Barulah dia mengerti. Kamil yang pada mulanya duduk bertentangan dengan Muaz beralih tempat untuk duduk di sebelah Muaz. Tangannya memeluk bahu Muaz. Rasa lebih dekat.

“Mungkin enta sudah bersedia untuk menikah,” Kamil berkata kepada Muaz.

Muaz memandang Kamil, terkejut dengan kata-kata itu.

“Belum, ana masih belum mampu. Ana masih tidak bersedia,” Muaz menafikan.

“Hmmm….kalau begitu,” Kamil berfikir panjang sambil mengusap dagunya yang ada beberapa helai janggut.

“Berpuasalah,” Kamil memberi cadangan.

“Ya, ana sudah mengamalkannya,”

“Macam mana dengan amalan harian? Solat, Al-Quran,Al- Mathurat, Tahajud? Semuanya terlaksana?”

“Alhamdulillah, ana masih mampu,” Muaz mengangguk.

Kamil berfikir lagi, menyusun kata-kata yang terbaik untuk disampaikan kepada sahabatnya yang sedang dilanda masalah itu.

“Hmm…lapangkan hati enta, ana mahu berkongsi satu rahsia,” Kamil membetulkan kedudukan, kelihatan lebih serius lagaknya.

Muaz juga begitu.

“Sebenarnya, ana juga pernah mengalami apa yang enta rasa. Ana tahu ujian ini memang satu ujian yang sangat berat, namun insyaAllah apabila enta sudah mampu mengatasinya, enta akan mendapati bahawa ujian ini hanyalah kecil jika dibandingkan dengan ujian untuk mengislah manusia. Cinta adalah lumrah, satu fitrah yang sangat suci Allah ciptakan buat manusia dan kita tidak boleh menafikannya. Namun, jika kita belum mampu mungkin kita perlu ketepikan dahulu rasa itu. Sibukkan diri kita dengan kerja-kerja dakwah supaya kita tiada masa untuk teringat kepada si dia. Akhi, di luar sana masih ada banyak jiwa yang ingin kita sentuh, masih banyak jiwa yang sedang mencari-cari tujuan hidup mereka, masih banyak kerja yang perlu kita lakukan. Masyarakat di luar sana memerlukan kita,” Kamil menepuk bahu Muaz berulang kali.

Muaz mengangguk-angguk. Wajahnya kelihatan lebih lega berbanding sebelumnya.

Kamil bersedia untuk menyambung, “ Akhi, mungkin kita mampu melaksanakan amalan harian kita seperti biasa, namun adakah kita betul-betul ikhlas melakukannya kerana Allah atau semata-mata untuk memenuhi kotak mutaba’ah amal kita? Perlukan masa dan latihan untuk membentuk keikhlasan, dan berdoalah kepada Allah, mintalah kepada Allah kebenaran dan kesabaran. Moga Allah melindungi kita daripada cinta yang berlandaskan nafsu semata-mata. Allah kan ada,”

Mengalir air mata Muaz apabila mendengar kata-kata Kamil.

“Jazakallahkhair, enta memang murabbi terbaik ana!” Muaz memeluk sahabatnya, rapat dan erat. Muaz merasakan ukhwah itu amat bermakna baginya, satu hadiah daripada Allah yang tidak ternilai harganya.

Friday, April 12, 2013

bab 1


Kaki Ahmad Hafiz  laju mengayuh basikal usangnya pulang ke rumah. Penat bekerja tidak mematahkan semangatnya untuk mengayuh. Hafiz sebenarnya tidak sabar ingin menatap wajah satu-satunya adik perempuan yang baru sahaja pulang daripada sekolah yang terletak di ibu negara. Hampir enam bulan dia tidak menatap dan mendengar gelak tawa adik kesayangannya itu yang hanya muda setahun daripadanya. Hafiz sanggup mengorbankan waktu persekolahannya untuk bekerja dengan bertukang dan membina rumah demi menyara yuran persekolahan adiknya kerana hasil jualan kuih ibunya tidak mampu menampung perbelanjaan yang besar itu. Ilmu pertukangan itu diwarisi oleh bapanya, Kamarul yang telah meninggal dunia sejak Hafiz berusia 15 tahun.

Sebaik sahaja tiba di rumah, sebelum sempat turun daripada basikalnya…

“Iman Hafizah!!!! Abang kamu datang!!!!” Hafiz menjerit kuat.

Iman Hafizah yang sedang makan bersama ibunya di dapur tersenyum. Oleh kerana rumah mereka hanyalah kecil, maka suara itu dapat didengari dengan jelas. Iman amat mengenali suara itu. Suara seorang abang yang sangat dirinduinya.

“Hmm..pergilah sambut abang Iman. Dah berapa hari menyebut, demam rindu kat adik dia,” Mak Cik Mariam juga merangkap ibu Iman berkata dengan nada ceria. Dia tahu keakraban antara dua beradik itu. Seperti isi dengan kuku. Walaupun kadang-kadang bergaduh seperti anjing dengan kucing namun mereka akan kembali rapat dalam masa yang tidak sampai 24 jam. Mereka ibarat kembar yang tidak dapat dipisahkan melainkan hanya dengan kematian!

Iman mengangguk lalu menuju ke hadapan rumah. Lebar senyumannya menyambut kepulangan Hafiz. 

Sebaik sahaja Hafiz berada di hadapannya,
“Assalamualaikum abang,” Iman bersuara lembut lalu menghulurkan tangan untuk bersalam dengan abangnya.

Hafiz kaget seketika. Sebelum ini, adiknya tidak pernah memberi salam dan menghulurkan tangan untuk menyalaminya . Biasanya, Iman akan terus menarik tangannya dan membawanya masuk ke dalam rumah. Tetapi, kali ini ada sedikit kelainan.

Apabila melihat huluran tangannya tidak berbalas, Iman menarik tangan abangnya lalu mencium tangan kasar itu. Iman sebak seketika. Dalam hatinya dia terfikir, adakah tangan abangnya yang kasar itu akibat daripada pertukangan dan kerja berat yang dilakukan oleh abangnya untuk menampung yuran persekolahannya? Abangnya kelihatan semakin kurus. Adakah semuanya kerana dirinya?

Hafiz masih lagi terkebil-kebil dengan tindakan adiknya.

‘Ini adik akukah?’

Detik hati kecil Hafiz.
Iman memandang muka Hafiz.

“Kenapa muka abang macam tu?” Iman bertanya.

“Err..tak, tak ada apa-apa, terkejut sebab Iman macam dah berubah,” Tanpa berselindung, Hafiz menyatakan suara hatinya.

“Owh, sebab tu rupa-rupanya. Ingatkan sebab apa tadi,” Iman senyum kepada abangnya.

“Jom, masuk rumah. Umi ada di dapur,” Iman menarik tangan abangnya seperti yang biasa dilakukannya selama ini.

Sebaik sahaja tiba di dapur, Iman dan Hafiz menyertai ibu mereka. Mereka duduk bersama-sama di atas 
lantai yang berlapikkan dengan kain batik lusuh. Walaupun mereka tidak mempunyai meja makan seperti orang lain, namun mereka tetap bahagia dengan cara hidup mereka.

“Nah, makan,” Mak Cik Mariam menghulurkan pisang goreng panas yang baru digorengnya sebentar tadi.

“Terima kasih, Umi. Jom makan!” Iman berkata dengan nada ceria. Mak Cik Mariam senyum melihat telatah anak bongsunya yang kebudak-budakan itu walaupun umurnya hampir mencecah 16 tahun.

“Iman tengok abang makin kurus. Abang buat kerja apa?” Iman memulakan perbualan, sengaja bertanya walaupun dia sudah mampu mengagak kerja apa yang dilakukan oleh abangnya.

“Makin kurus?” Hafiz memandang tubuh badannya.

“Bukan makin hensem ke? Haha,” Hafiz berkata sambil ketawa.

“Eleh, nak tukar topik la tu sebab tak nak jawab soalan Iman,” Iman mencebik, dia amat kenal sikap abangnya yang lebih suka memendam beban seorang diri.

“Tukar topik apanya? Memang abang makin hensem, nak buat macam mana? Betul tak Umi,” Hafiz memandang ibunya.

Mak Cik Mariam tersenyum lalu mengangguk, mengiyakan kenyataan anak sulungnya itu.

Yes! Tengok! Umi pun bersetuju dengan abang,” Hafiz gembira kerana ibunya menyebelahinya.

Iman mencuka. “Ok, tak nak cakap tak pe. Tapi Iman risau la, abang jangan la buat kerja sampai tak makan dan tak rehat. Nanti kalau sakit, Iman dengan Umi yang susah tau,”

Belum sempat Hafiz mencelah, Iman menyambung..

“Umi pun sama, jangan kerja teruk sangat semata-mata untuk sekolahkan Iman. Kesian Iman tengok Umi, nampak penat je,”

“Bla…bla..bla…Umi, nampaknya sekali lagi kita kena bertahan dengan bebelan anak Umi nih,” kata Hafiz kepada ibunya.

Mak cik Mariam tersenyum lagi. Dia tahu anak bongsunya itu dalam kebimbangan.

“Iman jangan risau. Umi cuma menjalankan tugas Umi untuk memastikan Iman mendapat pendidikan yang baik. Iman adalah amanah arwah abah Iman. Umi takkan sia-siakan amanah ni. Tugas Iman cuma belajar betul-betul, ya sayang,” Mak Cik Mariam berkata lembut sambil membelai rambut panjang anak perempuannya itu.

Iman terdiam. Tiada kata-kata yang mampu diluahkan. Hatinya tersentuh dengan kasih sayang yang dicurahkan oleh ibunya itu.

‘Ya Allah, sayangilah ibuku sebagai mana dia menyayangiku, berikanlah kepada dia kefahaman Islam yang mantap! Aminn,’ hati kecil Iman berdoa.



-TO BE CONTINUED-

Wednesday, April 3, 2013

epilog




Di sebuah pondok berdekatan pasar malam, kelihatan seorang lelaki remaja yang agak selekeh duduk termenung berseorangan sambil memegang botol arak yang telah pun habis diminum isinya. Kemeriahan pasar malam langsung tidak menarik minatnya untuk turut serta sebagai pembeli. Ada sesuatu yang lebih penting sedang menganggu pemikirannya. Kenapa? Kenapa?? Hatinya bertanya berkali-kali.

“Assalamualaikum, adik buat apa kat sini? Tak balik rumah?” Ustaz Mukhriz menyapanya.

Remaja itu tersentak. Dia tidak menyangka dalam kesibukan manusia membeli juadah di pasar malam itu, masih ada manusia yang menyedari kewujudannya di situ. Dia tidak menyangka masih ada manusia yang ingin menyapanya dengan keadaan dirinya yang selekeh dan agak berbau itu dek kerana sudah dua hari dia tidak menjejakkan kaki di rumahnya.

“Err..waalaikumussalam,” remaja itu hanya tersengih, tidak tahu bagaimana mahu menjawab pertanyaan itu.

“Rumah kat mana?” ustaz itu bertanya lagi dengan penuh berminat.

Remaja itu memandang ustaz tersebut. Matanya berkelip-kelip sambil hatinya tertanya-tanya tujuan ustaz itu ingin mendekatinya.

“Hmm…mak…mak halau saya. Rumah kat sebelah sana,” tergagap-gagap remaja itu menjawab sambil jari telunjuknya ditunjuk pada arah jalan untuk ke rumahnya.

Ustaz Mukhriz memandang botol arak di tangan remaja itu. Barulah dia dapat mengagak sebab ibu remaja itu berbuat sedemikian.

“Saya tak faham, kenapa mak saya sanggup halau saya, anak kandungnya sendiri. Teruk sangat ke saya ni?” remaja yang pada mulanya kelihatan takut-takut itu tiba-tiba berani bersuara, meluahkan rasa hatinya yang telah lama dipendam jauh di lubuk hatinya.

Ustaz Mukhriz diam. Otaknya ligat memikirkan jawapan yang terbaik untuk diberikan kepada remaja di hadapannya itu.

Beberapa saat kemudian, ustaz Mukhriz bersuara, “A’ah, memang adik..err..nama apa tadi?”

“Hafiz, nama saya Hafiz,” pantas remaja itu menjawab.

“Hah, sedap nama tu. A’ah, memang Hafiz anak yang teruk pun. Kalau saya tanya semua orang yang ada kat sini, rasanya semua orang akan cakap benda yang sama,” ustaz Mukhriz menjawab dengan nada bersahaja.

Hafiz tersentak. Matanya terbeliak. Dia tidak menyangka jawapan itu yang akan keluar daripada manusia berkopiah di hadapannya itu. Sangkanya, lelaki itu akan memberikan jawapan yang dapat mengambil hatinya.

“Tapi…” Ustaz Muhkriz ingin menyambung, “Walau seteruk mana pun Hafiz, Hafiz tetap orang Islam bukan?”

“Hmm..a’ah,” Hafiz mengangguk perlahan-lahan, seperti ragu-ragu dengan pengakuannya itu.

 “Alhamdulillah, Hafiz masih lagi orang yang beriman bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad s.a.w itu pesuruh Allah. Walaupun Hafiz minum arak atau lakukan perkara yang dilarang oleh Allah, Allah tetap bagi hidayah Islam itu kepada Hafiz. Nikmat yang paling mahal buat makhluk bergelar manusia,”

Diam seketika. Mungkin ustaz itu ingin menyusun kata-katanya dengan teratur. Tiada kata-kata terkeluar daripada mulut Hafiz.

 “Pernah tak tanya diri, kenapa dalam berjuta-juta manusia kat dunia ni, Allah pilih Hafiz untuk mendapat nikmat Islam? Apa kelayakan yang Hafiz ada? Kenapa Allah tak pilih mat saleh atau anyone yang banyak buat charity work kat luar sana tu untuk dapat nikmat Is
lam?”

Hafiz diam. Cuba untuk menyelami kata-kata ustaz Mukhriz.

“Walaupun Hafiz teruk, Allah tetap pilih Hafiz sebab Allah sayang pada Hafiz,”

Hafiz mengangguk.

“Nampak tak kasih sayang Allah? So, apa balasan kita pada kasih sayang yang Allah bagi pada kita?”

Azan maghrib daripada surau berdekatan berkumandang sekali gus menghentikan lamunannya. Persoalan di hatinya masih belum terjawab.

“Kenapa? Kenapa Allah memilihnya sedangkan dia adalah insan yang punya banyak dosa?”



-----TO BE CONTINUED-----