Animated Social Gadget - Blogger And Wordpress Tips

Friday, February 10, 2012

Laukana bainana..


Laukana bainana, maza taf’al?? Seandainya baginda masih ada bersama kita, apa yang kamu akan lakukan??

Assalamualaikum w.b.t..ya isdiqa’(wahai sahabat-sahabatku),
                Permulaan hariku pada hari ini kurang baik, mungkin kerana penyusunan masaku masih lagi belum mantap. Aku tergesa-gesa ingin ke kuliah pada pukul 9.00 pagi dan sekali lagi aku terlupa untuk membaca Al-Mathurat. Tetapi, Alhamdulillah, seusai kuliah pada pukul 10.45 pagi, aku diizinkan oleh Allah untuk membacanya. Amalan yang sekecil itu, begitu sukar bagi aku untuk istiqamah, mana mungkin aku layak untuk bertemu baginda s.a.w dengan amalan seperti itu.
                
                Seorang hamba soleh(kurang pasti apa namanya), apabila ditanya soalan yang sama,

“Jika baginda berada di antara kita, apa yang akan kau lakukan?”

Hamba Allah itu menjawab, “Aku akan lari masuk ke dalam bilik,”

Orang yang bertanya itu hairan, “Mengapa?”

Maka orang soleh itu menjawab, “Mana mungkin aku yang banyak dosa ini layak untuk bertemu manusia semulia baginda Rasulullah s.a.w,”

                Itu jawapan orang yang soleh, maka bagaimana pula dengan jawapan kita?? Walaupun kita ini amalannya tidak sehebat para tabi’in (generasi selepas para sahabat) apatah lagi para sahabat, tetapi baginda tetap menyayangi kita dan mendoakan kita sehingga saat akhir kematiannya dan juga sehingga kini, baginda berada di alam barzakh, masih tetap berdoa untuk kita, insyaAllah.

                Kata ustaz, Rasulullah s.a.w pernah berdoa doa yang khas untuk isteri baginda Aisyah r.a. Maksudnya lebih kurang begini, Ya Allah, ampunkanlah dosa Aisyah bt Abu Bakar, ampunkan dosanya yang lalu dan dosanya akan datang, yang kecil mahupun yang besar, yang tersembunyi mahupun yang kelihatan. Ya Allah, ampunkan dosanya keseluruhannya. Isteri baginda amat gembira apabila mendengar doa itu sehingga mengalirkan air mata gembira, maka Rasulullah bertanya, 
“Mengapa ya Humaira?”

Saidatina Aisyah r.a menjawab, “Mana mungkin aku tidak gembira kerana engkau berdoa khas untuk aku, kerana aku tahu doamu ialah doa yang diterima oleh Allah,”

Rasulullah s.a.w menjawab,” Itulah doaku buat umatku pada setiap malam,”



                Begitu mendalam cinta baginda kepada kita, sentiasa mendoakan kita pada setiap malam sepanjang hidupnya, tetapi bagaimana dengan kita?? Berapa kali kita berselawat ke atas baginda setiap hari? Berapa banyak kita mengamalkan sunnah baginda sehingga saat ini?

Oh ya, bercakap tentang sunnah, aku teringat akan sesuatu. Adakah kita tahu apakah sunnah terbesar baginda Rasulullah s.a.w?? Kakak ‘bulatan gembiraku’ memberitahuku bahawa sunnah baginda yang terbesar ialah dakwah. Rasulullah s.a.w diutuskan untuk berdakwah, menyampaikan Islam, makanya itu juga adalah tugas kita sebagai umatnya. Menyampaikan Islam, mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran, itulah tugas sebenar kita. Jadi, sejauh mana kita telah melakukannya?? Fikir-fikirlah! Sekian, moga bermanfaat, insyaAllah..wassalam..


p/s: Kisah-kisah yang diceritakan di atas adalah berdasarkan kepada cerita ustaz yang aku dengari dan fahami semata-mata tanpa merujuk kepada dalil. Jadi, sekiranya ada kesalahan dalam penceritaan itu, mohon diperbetulkan. Maaf atas kekhilafanku dalam mendengar dan menyampai..

1 comment:

Nur said...

urm... terharu nyer ngan doa Rasulullah tu~