Animated Social Gadget - Blogger And Wordpress Tips

Wednesday, April 3, 2013

epilog




Di sebuah pondok berdekatan pasar malam, kelihatan seorang lelaki remaja yang agak selekeh duduk termenung berseorangan sambil memegang botol arak yang telah pun habis diminum isinya. Kemeriahan pasar malam langsung tidak menarik minatnya untuk turut serta sebagai pembeli. Ada sesuatu yang lebih penting sedang menganggu pemikirannya. Kenapa? Kenapa?? Hatinya bertanya berkali-kali.

“Assalamualaikum, adik buat apa kat sini? Tak balik rumah?” Ustaz Mukhriz menyapanya.

Remaja itu tersentak. Dia tidak menyangka dalam kesibukan manusia membeli juadah di pasar malam itu, masih ada manusia yang menyedari kewujudannya di situ. Dia tidak menyangka masih ada manusia yang ingin menyapanya dengan keadaan dirinya yang selekeh dan agak berbau itu dek kerana sudah dua hari dia tidak menjejakkan kaki di rumahnya.

“Err..waalaikumussalam,” remaja itu hanya tersengih, tidak tahu bagaimana mahu menjawab pertanyaan itu.

“Rumah kat mana?” ustaz itu bertanya lagi dengan penuh berminat.

Remaja itu memandang ustaz tersebut. Matanya berkelip-kelip sambil hatinya tertanya-tanya tujuan ustaz itu ingin mendekatinya.

“Hmm…mak…mak halau saya. Rumah kat sebelah sana,” tergagap-gagap remaja itu menjawab sambil jari telunjuknya ditunjuk pada arah jalan untuk ke rumahnya.

Ustaz Mukhriz memandang botol arak di tangan remaja itu. Barulah dia dapat mengagak sebab ibu remaja itu berbuat sedemikian.

“Saya tak faham, kenapa mak saya sanggup halau saya, anak kandungnya sendiri. Teruk sangat ke saya ni?” remaja yang pada mulanya kelihatan takut-takut itu tiba-tiba berani bersuara, meluahkan rasa hatinya yang telah lama dipendam jauh di lubuk hatinya.

Ustaz Mukhriz diam. Otaknya ligat memikirkan jawapan yang terbaik untuk diberikan kepada remaja di hadapannya itu.

Beberapa saat kemudian, ustaz Mukhriz bersuara, “A’ah, memang adik..err..nama apa tadi?”

“Hafiz, nama saya Hafiz,” pantas remaja itu menjawab.

“Hah, sedap nama tu. A’ah, memang Hafiz anak yang teruk pun. Kalau saya tanya semua orang yang ada kat sini, rasanya semua orang akan cakap benda yang sama,” ustaz Mukhriz menjawab dengan nada bersahaja.

Hafiz tersentak. Matanya terbeliak. Dia tidak menyangka jawapan itu yang akan keluar daripada manusia berkopiah di hadapannya itu. Sangkanya, lelaki itu akan memberikan jawapan yang dapat mengambil hatinya.

“Tapi…” Ustaz Muhkriz ingin menyambung, “Walau seteruk mana pun Hafiz, Hafiz tetap orang Islam bukan?”

“Hmm..a’ah,” Hafiz mengangguk perlahan-lahan, seperti ragu-ragu dengan pengakuannya itu.

 “Alhamdulillah, Hafiz masih lagi orang yang beriman bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad s.a.w itu pesuruh Allah. Walaupun Hafiz minum arak atau lakukan perkara yang dilarang oleh Allah, Allah tetap bagi hidayah Islam itu kepada Hafiz. Nikmat yang paling mahal buat makhluk bergelar manusia,”

Diam seketika. Mungkin ustaz itu ingin menyusun kata-katanya dengan teratur. Tiada kata-kata terkeluar daripada mulut Hafiz.

 “Pernah tak tanya diri, kenapa dalam berjuta-juta manusia kat dunia ni, Allah pilih Hafiz untuk mendapat nikmat Islam? Apa kelayakan yang Hafiz ada? Kenapa Allah tak pilih mat saleh atau anyone yang banyak buat charity work kat luar sana tu untuk dapat nikmat Is
lam?”

Hafiz diam. Cuba untuk menyelami kata-kata ustaz Mukhriz.

“Walaupun Hafiz teruk, Allah tetap pilih Hafiz sebab Allah sayang pada Hafiz,”

Hafiz mengangguk.

“Nampak tak kasih sayang Allah? So, apa balasan kita pada kasih sayang yang Allah bagi pada kita?”

Azan maghrib daripada surau berdekatan berkumandang sekali gus menghentikan lamunannya. Persoalan di hatinya masih belum terjawab.

“Kenapa? Kenapa Allah memilihnya sedangkan dia adalah insan yang punya banyak dosa?”



-----TO BE CONTINUED-----

No comments: