Kaki Ahmad Hafiz laju
mengayuh basikal usangnya pulang ke rumah. Penat bekerja tidak mematahkan semangatnya
untuk mengayuh. Hafiz sebenarnya tidak sabar ingin menatap wajah satu-satunya
adik perempuan yang baru sahaja pulang daripada sekolah yang terletak di ibu
negara. Hampir enam bulan dia tidak menatap dan mendengar gelak tawa adik
kesayangannya itu yang hanya muda setahun daripadanya. Hafiz sanggup
mengorbankan waktu persekolahannya untuk bekerja dengan bertukang dan membina
rumah demi menyara yuran persekolahan adiknya kerana hasil jualan kuih ibunya
tidak mampu menampung perbelanjaan yang besar itu. Ilmu pertukangan itu
diwarisi oleh bapanya, Kamarul yang telah meninggal dunia sejak Hafiz berusia
15 tahun.
Sebaik sahaja tiba di rumah, sebelum sempat turun daripada
basikalnya…
“Iman Hafizah!!!! Abang kamu datang!!!!” Hafiz menjerit
kuat.
Iman Hafizah yang sedang makan bersama ibunya di dapur
tersenyum. Oleh kerana rumah mereka hanyalah kecil, maka suara itu dapat
didengari dengan jelas. Iman amat mengenali suara itu. Suara seorang abang yang
sangat dirinduinya.
“Hmm..pergilah sambut abang Iman. Dah berapa hari menyebut,
demam rindu kat adik dia,” Mak Cik Mariam juga merangkap ibu Iman berkata
dengan nada ceria. Dia tahu keakraban antara dua beradik itu. Seperti isi
dengan kuku. Walaupun kadang-kadang bergaduh seperti anjing dengan kucing namun
mereka akan kembali rapat dalam masa yang tidak sampai 24 jam. Mereka ibarat
kembar yang tidak dapat dipisahkan melainkan hanya dengan kematian!
Iman mengangguk lalu menuju ke hadapan rumah. Lebar
senyumannya menyambut kepulangan Hafiz.
Sebaik sahaja Hafiz berada di
hadapannya,
“Assalamualaikum abang,” Iman bersuara lembut lalu
menghulurkan tangan untuk bersalam dengan abangnya.
Hafiz kaget seketika. Sebelum ini, adiknya tidak pernah
memberi salam dan menghulurkan tangan untuk menyalaminya . Biasanya, Iman akan terus
menarik tangannya dan membawanya masuk ke dalam rumah. Tetapi, kali ini ada
sedikit kelainan.
Apabila melihat huluran tangannya tidak berbalas, Iman
menarik tangan abangnya lalu mencium tangan kasar itu. Iman sebak seketika.
Dalam hatinya dia terfikir, adakah tangan abangnya yang kasar itu akibat
daripada pertukangan dan kerja berat yang dilakukan oleh abangnya untuk
menampung yuran persekolahannya? Abangnya kelihatan semakin kurus. Adakah
semuanya kerana dirinya?
Hafiz masih lagi terkebil-kebil dengan tindakan adiknya.
‘Ini adik akukah?’
Detik hati kecil Hafiz.
Iman memandang muka Hafiz.
“Kenapa muka abang macam tu?” Iman bertanya.
“Err..tak, tak ada apa-apa, terkejut sebab Iman macam dah
berubah,” Tanpa berselindung, Hafiz menyatakan suara hatinya.
“Owh, sebab tu rupa-rupanya. Ingatkan sebab apa tadi,” Iman
senyum kepada abangnya.
“Jom, masuk rumah. Umi ada di dapur,” Iman menarik tangan
abangnya seperti yang biasa dilakukannya selama ini.
Sebaik sahaja tiba di dapur, Iman dan Hafiz menyertai ibu
mereka. Mereka duduk bersama-sama di atas
lantai yang berlapikkan dengan kain
batik lusuh. Walaupun mereka tidak mempunyai meja makan seperti orang lain,
namun mereka tetap bahagia dengan cara hidup mereka.
“Nah, makan,” Mak Cik Mariam menghulurkan pisang goreng
panas yang baru digorengnya sebentar tadi.
“Terima kasih, Umi. Jom makan!” Iman berkata dengan nada
ceria. Mak Cik Mariam senyum melihat telatah anak bongsunya yang
kebudak-budakan itu walaupun umurnya hampir mencecah 16 tahun.
“Iman tengok abang makin kurus. Abang buat kerja apa?” Iman
memulakan perbualan, sengaja bertanya walaupun dia sudah mampu mengagak kerja
apa yang dilakukan oleh abangnya.
“Makin kurus?” Hafiz memandang tubuh badannya.
“Bukan makin hensem ke? Haha,” Hafiz berkata sambil ketawa.
“Eleh, nak tukar topik la tu sebab tak nak jawab soalan
Iman,” Iman mencebik, dia amat kenal sikap abangnya yang lebih suka memendam
beban seorang diri.
“Tukar topik apanya? Memang abang makin hensem, nak buat
macam mana? Betul tak Umi,” Hafiz memandang ibunya.
Mak Cik Mariam tersenyum lalu mengangguk, mengiyakan
kenyataan anak sulungnya itu.
“Yes! Tengok! Umi
pun bersetuju dengan abang,” Hafiz gembira kerana ibunya menyebelahinya.
Iman mencuka. “Ok, tak nak cakap tak pe. Tapi Iman risau la,
abang jangan la buat kerja sampai tak makan dan tak rehat. Nanti kalau sakit,
Iman dengan Umi yang susah tau,”
Belum sempat Hafiz mencelah, Iman menyambung..
“Umi pun sama, jangan kerja teruk sangat semata-mata untuk
sekolahkan Iman. Kesian Iman tengok Umi, nampak penat je,”
“Bla…bla..bla…Umi, nampaknya sekali lagi kita kena bertahan
dengan bebelan anak Umi nih,” kata Hafiz kepada ibunya.
Mak cik Mariam tersenyum lagi. Dia tahu anak bongsunya itu
dalam kebimbangan.
“Iman jangan risau. Umi cuma menjalankan tugas Umi untuk
memastikan Iman mendapat pendidikan yang baik. Iman adalah amanah arwah abah
Iman. Umi takkan sia-siakan amanah ni. Tugas Iman cuma belajar betul-betul, ya
sayang,” Mak Cik Mariam berkata lembut sambil membelai rambut panjang anak
perempuannya itu.
Iman terdiam. Tiada kata-kata yang mampu diluahkan. Hatinya
tersentuh dengan kasih sayang yang dicurahkan oleh ibunya itu.
‘Ya Allah, sayangilah ibuku sebagai mana dia menyayangiku,
berikanlah kepada dia kefahaman Islam yang mantap! Aminn,’ hati kecil Iman berdoa.
-TO BE CONTINUED-
No comments:
Post a Comment