“Hoi Hafiz! Nak ke mana?” kedengaran satu suara yang garau
daripada bawah pokok. Pagi itu, Hafiz dalam perjalanan untuk ke rumah salah
seorang penduduk kampung untuk dibaiki atapnya.
“Aku nak pergi kerjalah,” Hafiz menjawab pendek. Dia tidak
mahu membazir masa dengan orang yang kurang dikenalinya itu. Orang tersebut
bernama Rizal, pernah menjadi senior sekolahnya namun dibuang sekolah kerana
melakukan kes disiplin yang melampau.
“Ala, jom la lepak sini dulu, sembang-sembang jap,” Rizal
memujuk. Mungkin mencari teman untuk melepak bersama.
“Mana kawan kau yang lain?” Hafiz bertanya kerana
kebiasaannya Rizal akan melepak bersama kawan-kawannya sambil bersembang dan
bergelak ketawa. Kadang-kadang mereka akan menganggu penduduk kampung yang lalu
berdekatan tempat lepak mereka.
Rizal mengangkat bahu. “Entah, masjid mungkin,” Rizal
tersengih menampakkan giginya.
“Jom la duduk sini,” Rizal masih memujuk.
“Aku ada kerja,” Hafiz serba salah.
“Ala, lepak sekejap je. Aku bosan ni,” Rizal masih lagi
tidak mengalah.
Hafiz menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Keliru untuk
membuat keputusan.
“Aku ada sesuatu untuk kau,” Rizal cuba mengumpan Hafiz.
“Apa dia?”
“Nah,” Rizal menghulurkan sebotol air.
“Air apa ni?” Hafiz bertanya ragu-ragu.
“Rasa dulu. Lepas minum semua masalah hilang,”
“Kau jangan buat lawak. Kau letak sihir apa dalam air ni
sampai boleh hilangkan masalah?” Hafiz masih tidak mempercayai lelaki di
hadapannya itu.
“Ni arak la, arak. Tahu?” Rizal berterus- terang.
“Kau…kau minum arak?” Hafiz terkejut. Walapun dia tidak
habis bersekolah, dia juga tahu bahawa arak itu haram.
“Ye!” Rizal berkata tanpa segan silu.
“Ala, nanti dah tua kita bertaubat la. Waktu muda hanya
sekali. Waktu ni la kita nak berseronok!” Rizal berkata lagi. Kelihatan seperti
orang mabuk lagaknya.
“Nah, rasalah,” Rizal menawarkan air itu sekali lagi.
“Tak nak, terima kasih,” Hafiz menolak.
“Ala, kau ni….bosan la,”
“Meh, duduk sini,” Rizal menarik tangan Hafiz.
Hafiz yang tidak menyangka tindakan Rizal itu terdorong ke
hadapan, terduduk di sebelah Rizal. Tangan Rizal diletakkan di atas bahu Hafiz.
“Kau tengok dunia ni, cantik kan?” Rizal bertanya sambil
menunjuk ke arah langit dan pokok yang berada di sekitar mereka.
“Kau tahu, Tuhan cipta dunia ni cantik-cantik bersebab. Supaya kita boleh berseronok atas dunia ni
sebelum mati,”
Hafiz hanya mendengar kata-kata orang yang pernah menjadi
senior sekolahnya itu. Rizal memberitahunya perlbagai perkara yang tidak pernah
terfikir olehnya sebelum ini. Hafiz semakin galak mendengar falsafah – falsafah
daripada Rizal sehingga terlupa akan kerjanya tadi.
Beberapa jam kemudian..
“Alamak! Aku terlupa, aku dah janji nak baiki atap Pak
Seman,” Hafiz berkata. Dia baru teringat akan perkara itu.
“Esok kan ada. Kau pergi je la esok,” Rizal masih belum puas
bercerita kepada Hafiz.
“Tak, aku dah janji hari ni,” Hafiz bertegas.
“Aku pergi dulu, esok aku datang lagi,” Hafiz terus berlalu
dengan basikalnya.
Sejak hari itu, hampir setiap hari Hafiz melepak bersama
Rizal terutama sekali selepas Iman Hafizah pulang semula ke sekolahnya di Kuala
Lumpur. Hafiz sebenarnya tidak mempunyai ramai kawan melainkan adiknya seorang
sahaja. Dia tidak berkesempatan untuk bergaul dengan remaja-remaja di
kampungnya dek kerana sibuk berkerja mencari duit. Namun, sejak melepak bersama
Rizal dia merasakan bahawa dia mempunyai teman. Sebab itu jugalah yang
mendorongnya untuk menghabiskan masanya bersama Rizal. Tetapi, dia belum pernah
menyentuh air yang ditawarkan oleh Rizal itu.
**********************************************************************************
Pada waktu yang sama di daerah yang berbeza…
“Kamil, ana..” Muaz seperti mahu berkata sesuatu tetapi
ragu-ragu.
“Ya, akhi. Kenapa dengan enta. Muka berkerut, macam ada
masalah berat yang tertanggung,” Kamil bertanya. Bimbang melihat sahabatnya
seperti itu. Kebiasaanya, Muaz adalah orang yang cool dan ceria.
Muaz menelefon Kamil seawal 7.00 pagi tadi. Katanya ingin
bertemu Kamil kerana ada sesuatu yang sedang menganggu pemikirannya. Kamil
bimbang kerana suara Muaz di talian amat berbeza. Muaz resah, seperti ditimpa
masalah yang sangat berat. Mereka berjanji untuk bertemu di Radix Fried Chicken
berdekatan bangunan Yayasan Terengganu.
“Ana perlukan pendapat enta. Tapi, enta perlu berjanji
supaya enta akan bersangka baik dengan ana,” Muaz memandang sahabat di
hadapannya itu. Matanya memandang tepat ke dalam mata Kamil, mengharapkan
pengertian daripada sahabat yang amat disayanginya kerana Allah itu.
“Baik, insya Allah,” Kamil mengangguk sambil tersenyum.
“Ana terpandang seorang perempuan di fakulti kita dan sejak
beberapa hari ini ana asyik terbayang mukanya. Ana cuba melawan, istighfar,
menyibukkan diri namun bayangannya masih belum hilang. Ana buntu. Ana takut
perasaan ini menyebabkan ana makin menjauh dengan Allah. Ana takut perasaan ini
akan menganggu kerja dakwah kita, tanggungjawab kita,” Muaz meluahkan
segalanya. Suaranya sedikit sebak, menunjukkan bahawa dia memang rasa bersalah
dengan perasaannya itu. Air yang dibeli di hadapannya tidak terteguk lagi dek
kerana masalah itu.
Kamil tersenyum lagi. Barulah dia mengerti. Kamil yang pada
mulanya duduk bertentangan dengan Muaz beralih tempat untuk duduk di sebelah
Muaz. Tangannya memeluk bahu Muaz. Rasa lebih dekat.
“Mungkin enta sudah bersedia untuk menikah,” Kamil berkata
kepada Muaz.
Muaz memandang Kamil, terkejut dengan kata-kata itu.
“Belum, ana masih belum mampu. Ana masih tidak bersedia,”
Muaz menafikan.
“Hmmm….kalau begitu,” Kamil berfikir panjang sambil mengusap
dagunya yang ada beberapa helai janggut.
“Berpuasalah,” Kamil memberi cadangan.
“Ya, ana sudah mengamalkannya,”
“Macam mana dengan amalan harian? Solat, Al-Quran,Al-
Mathurat, Tahajud? Semuanya terlaksana?”
“Alhamdulillah, ana masih mampu,” Muaz mengangguk.
Kamil berfikir lagi, menyusun kata-kata yang terbaik untuk
disampaikan kepada sahabatnya yang sedang dilanda masalah itu.
“Hmm…lapangkan hati enta, ana mahu berkongsi satu rahsia,”
Kamil membetulkan kedudukan, kelihatan lebih serius lagaknya.
Muaz juga begitu.
“Sebenarnya, ana juga pernah mengalami apa yang enta rasa.
Ana tahu ujian ini memang satu ujian yang sangat berat, namun insyaAllah
apabila enta sudah mampu mengatasinya, enta akan mendapati bahawa ujian ini
hanyalah kecil jika dibandingkan dengan ujian untuk mengislah manusia. Cinta
adalah lumrah, satu fitrah yang sangat suci Allah ciptakan buat manusia dan
kita tidak boleh menafikannya. Namun, jika kita belum mampu mungkin kita perlu
ketepikan dahulu rasa itu. Sibukkan diri kita dengan kerja-kerja dakwah supaya
kita tiada masa untuk teringat kepada si dia. Akhi, di luar sana masih ada
banyak jiwa yang ingin kita sentuh, masih banyak jiwa yang sedang mencari-cari
tujuan hidup mereka, masih banyak kerja yang perlu kita lakukan. Masyarakat di
luar sana memerlukan kita,” Kamil menepuk bahu Muaz berulang kali.
Muaz mengangguk-angguk. Wajahnya kelihatan lebih lega
berbanding sebelumnya.
Kamil bersedia untuk menyambung, “ Akhi, mungkin kita mampu
melaksanakan amalan harian kita seperti biasa, namun adakah kita betul-betul
ikhlas melakukannya kerana Allah atau semata-mata untuk memenuhi kotak
mutaba’ah amal kita? Perlukan masa dan latihan untuk membentuk keikhlasan, dan
berdoalah kepada Allah, mintalah kepada Allah kebenaran dan kesabaran. Moga
Allah melindungi kita daripada cinta yang berlandaskan nafsu semata-mata. Allah
kan ada,”
Mengalir air mata Muaz apabila mendengar kata-kata Kamil.
“Jazakallahkhair, enta memang murabbi terbaik ana!” Muaz
memeluk sahabatnya, rapat dan erat. Muaz merasakan ukhwah itu amat bermakna
baginya, satu hadiah daripada Allah yang tidak ternilai harganya.
No comments:
Post a Comment