Animated Social Gadget - Blogger And Wordpress Tips

Saturday, July 9, 2011

RAMADHAN HAMPIR TIBA? APA PERSIAPAN KITA?

Baru-baru ini ana menghadiri ceramah berkaitan satu bulan yang akan menjelma tidak lama lagi iaitu bulan Ramadhan. Apakah kelebihan bulan Ramadhan? Allah berfirman dalam surah Al-Qadr(97:1-5)
    
"Sesungguhnya kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam qadar*. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Dan sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar"

*Berdasarkan Al-Quran Darul Iman, malam qadar mempunyai beberapa erti, di antaranya malam kemuliaan, kerana pada malam itu permulaan diturunnya Al-Quran dari Lauh Mahfuz kepada nabi Muhammad s.a.w

Seperti kita semua maklum, salah satu kelebihan Ramadhan ialah Lailatul Qadar di mana amalan kita pada malam tersebut adalah bersamaan seperti amalan seribu bulan. Selain itu, pahala amalan sunat yang dilakukan pada bulan Ramadahan adalah bersamaan dengan pahala amalan fardhu manakala pahala amalan fardhu pula bersamaan dengan berpuluh-puluh kali ganda amalan fardhu. Betapa besarnya kelebihan yang Allah berikan kepada umat Muhammad s.a.w. Maka, bersyukurlah kepada Allah kerana menjadikan kita sebagai umat baginda s.a.w.

Jadi, adakah kita sudah bersedia untuk menyambut kedatangannya? Apakah persediaan yang telah dan akan kita lakukan sebelum tibanya bulan yang mulia itu? Antara persediaan yang boleh kita lakukan ialah persiapan ma'nawi iaitu persiapan hati kita. Hati kita perlulah rindu akan bulan Ramadhan dan bergembira dengan kedatangannya. Kita perlu mengalu-alukan kedatangan bulan Ramadhan. Kenapa mukmin gembira dengan kedatangan Ramadhan? Kerana kita boleh membanyakkan pahala kita dan bulan inilah bulan penghapus dosa.

Persediaan seterusnya ialah persediaan fikiran. Bagaimana untuk mempersiapkan pemikiran kita? Dengan cara mengetahui perkara yang halal, sunat dan perkara makruh yang dilakukan ketika berpuasa. Tambahlah ilmu berkaitan dengan puasa agar pemikiran kita lebih bersedia untuk menghadapinya.

Sebelum kita menghadiri peperiksaan, kita mengulangkaji pelajaran dan membuat latihan agar kita dapat menjawab soalan peperiksaan dengan cemerlang. Begitu juga dengan berpuasa. Sebelum tibanya Ramadhan kita perlu membuat persediaan dari segi amalan kita. Kita melatih diri kita untuk berpuasa sebelum tibanya Ramadhan agar kita dapat berpuasa dengan baik pada bulan Ramadhan. Bulan Sya'ban merupakan bulan yang sangat baik untuk meningkatkan amal kita. Selain itu, kita boleh memperbanyakkan bacaan Al-Quran, perbanyakkan solat sunat dan solat tahajud. Ini semua adalah latihan kita sebelum mneghadapi Ramadhan agar kita dapat menghadapi Ramadhan itu dengan sebaiknya. Gunakanlah peluang yang Allah kurniakan kepada kita sepanjang bulan Ramadhan nanti. Mudah-mudahan kita masih lagi dipinjamkan nyawa sepanjang bulan Ramadhan ini dan segala ibadah yang kita lakukan diterima oleh Alah s.w.t. InsyaAllah

Abu Hurairah telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud: Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi)

No comments: