Perkahwinan
itu bukannya hanya melibatkan penyatuan hati dua insan yang saling mencintai
tetapi perkahwinan itu melibatkan pembinaan ummah..
Assalamualaikum sahabat-sahabatku yang
disayangi kerana Allah, moga kita sentiasa berada di bawah lembayung rahmatNya,
insyaAllah. Alhamdulillah, pada kali ini aku masih lagi diberi kesempatan masa
dan ruang untuk menceritakan kisahku kepada kalian.
Sahabatku,
Alhamdulillah, segala puji bagi
Allah sekali lagi kerana semalam(28 jan) aku telah menghadiri majlis
perkahwinan salah seorang sahabatku yang menuntut di UIA juga bersama-samaku.
Sejujurnya, aku begitu teruja kerana sahabatku itu ialah sahabatku yang pertama
mendirikan rumah tangga dan aku juga bagaikan tidak percaya kerana aku sudah
melalui pengalaman memilih hadiah perkahwinan untuk sahabat sendiri. Memang,
ada kelainan yang akan dirasai apabila aku menghadiri majlis perkahwinan
sahabat sendiri dengan majlis perkahwinan orang lain. Itu merupakan sesuatu
yang berada di luar jangkaanku untuk mengalami pengalaman sedemikian seawal
ini. Tetapi, SubhanAllah itulah kehebatan aturan Tuhan, tiada sesiapapun dapat
mengagak apa yang akan berlaku pada masa akan datang.
Hikmah(pengajaran) pertama yang
ingin aku kongsikan di sini adalah tentang suasana perkahwinan itu sendiri.
Buat pertama kalinya, aku berasakan aku menghadiri sebuah perkahwinan yang aku
kira sangat bersederhana tetapi meriah. Perkahwinan itu diadakan di masjid
Al-Ghazali(kalau tak silap) berdekatan dengan SMKA K.Lumpur. Pengantin perempuan
iaitu sahabatku hanya memakai pakaian yang bagi aku, ringkas tetapi cantik di
mata manusia dan insyaAllah cantik pada pandangan Allah juga. Di atas kepalanya
juga ada mahkota seperti pengantin yang lain yang pernah aku lihat tetapi apa
kelainannya? Sahabatku memakai jubah berwarna cream dihiasi dengan sedikit
labucci dan bertudung labuh, amat berlainan dengan majlis perkahwinan yang
pernah aku hadiri sebelum ini. Itulah keistimewaan perkahwinan yang aku hadiri
semalam.
Hikmah kedua yang dapat aku ambil
adalah tentang solat secara berjemaah. Majlis yang diadakan di masjid secara
tidak langsung akan mengumpul ramai umat Islam di masjid dan secara tidak langsung
juga telah mengimarahkan masjid. Alhamdulillah, aku dan juga sahabat-sahabatku
yang menghadiri majlis perkahwinan itu bersamaku tiba di masjid hampir pukul
satu dan sebaik sahaja kami selesai menjamu selera, azan berkumandang. Saat
itulah para tetamu muslimin dan muslimat bersiap sedia untuk menunaikan solat
zohor secara berjemaah di dalam masjid. Satu ketenangan menyapa diriku saat aku
mendirikan solat di situ. Solat berjemaah menunjukkan kesatuan ummah, yang
apabila dilihat oleh orang-orang kafir, mereka akan berasa gerun kepada umat
Islam. Jadi, apa yang ingin aku sampaikan di sini ialah majlis perkahwinan itu
secara tidak langsung mewujudkan penyatuan umat Islam, insyaAllah. Moga
perkahwinan sahabatku itu diberkati.
Hikmah ketiga, kelainan yang
dapat aku perhatikan ialah tiadanya majlis persandingan. Ketika menghadiri
majlis itu, aku tidak nampak pelamin seperti yang aku lihat pada majlis pernikahan
sebelum ini. Aku yakin kita semua tahu bahawa majlis persandingan hanyalah satu
adat semata-mata dan pengantin tidak digalakkan untuk bersanding kerana
persandingan adalah seperti mempamerkan kecantikan di hadapan khalayak ramai.
Pada pendapat aku, majlis persandingan boleh diadakan tetapi hanyalah di
hadapan saudara-saudara terdekat sahaja. Aku rasa ini adalah salah satu
perbezaan majlis perkahwinan orang yang betul-betul faham tujuan majlis itu
diadakan iaitu untuk menguar-uarkan kepada orang ramai tentang pernikahan
mereka.
sweetnye..=P |
Jika aku ingin kongsikan seluruh
ibrah(pengajaran) yang aku dapat mungkin terlalu banyak. Tetapi, apa yang dapat
aku simpulkan melalui majlis perkahwinan sahabatku itu ialah perkahwinan itu
bukannya hanyalah penyatuan hati antara dua insan yang saling mencintai tetapi
perkahwinan itu berkaitan dengan pembangunan ummah. Penyatuan dua insan yang
soleh akan membina baitulMuslim(Rumah Orang Islam). Baitul Muslim inilah yang
akan melahirkan generasi ummat Nabi Muhammad s.a.w yang soleh, yang dapat
mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya yang pada hari ini semakin pudar.
Melalui perkahwinan itu sahaja dapat memberi banyak nilai islamik kepada
masyarakat yang memerhati.
Baitul Muslim itu tidak akan terbina dengan
hanya menikahi orang yang soleh tetapi bermula dengan diri kita. Sebelum
tibanya saat pernikahan, kita perlu membentuk diri kita, berusaha sedaya upaya
menjadi seorang yang soleh agar kita boleh membimbing anak-anak kita dan juga
mungkin pasangan kita itu sendiri kerana kekurangannya mungkin adalah kelebihan
kita dan sebaliknya,insyaAllah. Sekali lagi aku tegaskan buatmu sahabat,
perkahwinan itu bukan hanya melibatkan cinta tetapi juga melibatkan pembangunan
ummat, wallhu’alam.
1 comment:
alhamdulillah....
Post a Comment