Alhamdulillah,
segala puji bagi Allah yang Maha Merancang, yang Maha Mengetahui perkara yang
terbaik bagi setiap hambaNya. Alhamdulillah, dengan takdir Allah aku berpeluang
untuk ber’jaulah’ dengan seorang insan iaitu dia. Walaupun aku kira itu
bukanlah jaulah yang sebenarnya, namun aku tetap bersyukur kerana Allah memberi
aku peluang untuk pergi ke program bersamanya, keluar bersamanya, tidur di
dalam satu dorm yang sama, makan di meja yang sama..Alhamdulillah, ya
Allah..nikmat itu begitu indah buatku..
Hari
pertama..pada malam yang gelap gelita, aku tiba di sana, suatu tempat yang amat
asing bagiku..sebuah daerah bernama Sepang. Aku dan dia melangkah ke dalam
dewan, mendaftarkan diri lalu menuju ke dewan makan untuk mengisi perut yang
asyik meminta-minta untuk diisi semenjak petang lagi. Aku memerhatikan dia, di
saat aku dan orang lain sibuk meminta pinggan untuk di isi dengan lauk, dia
hanya diam membisu..mungkin memberi peluang kepada sahabatnya yang lain untuk
mengisi perut masing-masing. Diriku juga tidak sabar untuk makan tanpa
memikirkan yang lain..betapa aku ini lebih mementingkan diri jika dibandingkan
dengan dirinya, aku termalu sendiri.
Malam itu,
aku cuba melelapkan mata..sebelum aku terlena, sempat aku berdoa..ya Allah, ya
Rabb, Tuhan yang menyatukan hati manusia, aku memohon kepadamu, satukanlah
hati-hati kami..wujudkanlah kasih sayang antara kami, eratkanlah ukhwah antara
kami..moga Engkau redha, ya Allah..
Sepanjang
program, aku cuba mengenalinya dengan lebih dekat..aku memerhatikannya, dia yang kelam kabut
apabila berbuat sesuatu, dia yang tidak boleh tidur jika ada orang bercakap di
sekelilingnya, dia yang sangat suka apabila orang mengambil gambarnya, dia yang
malu-malu untuk meminta sesuatu dengan aku, dia yang tidak boleh tidur dengan
lampu yang terang, dia yang suka bangun awal..sekali lagi, aku termalu sendiri
kerana aku antara orang yang lewat bangun daripada tidurku. Mungkin itulah
sifat jahiliahku yang masih belum mampu kuubah, lebih mencintai tidur daripada
beribadat kepadaMu Allah, Ya Allah..berikan aku kekuatan untuk mengubahnya..
Pada suatu
ketika, aku berjalan dengannya..ya Allah, mengapa lidahku masih kelu untuk
berbicara? Mengapa aku berasa seperti ada penghalang antara kami? Ya Allah,
robohkanlah penghalang itu agar aku dan dia mampu berbicara, bergaul seperti
orang lain.
Kadang-kadang,
aku tertanya-tanya, adakah dia juga berfikiran seperti aku? Adakah dia juga
ingin bersahabat denganku? Atau aku hanya bertepuk sebelah tangan, syok
sendiri? Atau adakah dia ingin menjauhkan diri denganku? Mungkinkah cara aku
berhadapan dengannya itu salah? Ya Allah, jika persahabatan ini tidak terbina
dengan kukuh kerana silapku, maka betulkanlah aku, tunjukkan aku jalanMu yang
lurus, bimbinglah aku ya Allah..dalam membina ukhwah semata-mata keranaMu ya
Allah..
Akhirnya,
tiba hari yang terakhir. Dia begitu gembira kerana dia akan pulang ke
UIA..namun, aku..entah, sayu juga rasanya. Masihkah ada peluang seperti ini?
Masihkah ada ruang untuk aku lebih mengenalinya?? Ukhwah itu akan menjadi kukuh
dengan tiga perkara, makan, berjalan dan tidur bersama. Tetapi aku lebih suka
berjalan (jaulah) kerana dengan jaulah secara automatiknya dua unsur yang lain
itu akan wujud. Ya Allah, masih wujudkah
peluang untuk aku berjalan bersama-samanya? Masih adakah peluang untuk aku
makan bersama-samanya? Masih wujudkah saat untuk aku tidur di sampingnya?
Berbicara dengannya?
Ya Allah,
aku ingin peluang itu masih ada ya Allah..izinkan aku untuk lebih mengenalinya,
ya Allah. Izinkan aku untuk menyayanginya, ya Allah. Izinkan aku untuk
bersahabat dengannya, ya Allah. Sejujurnya, aku takut untuk terlalu berharap.
Aku takut jika aku terlalu berharap, hatiku akan kecewa. Namun, apakan
daya..harapan yang setinngi gunung itu telah pun wujud dalam hati ini. Maka ya
Allah, seandainya aku dikecewakan..berikan aku kekuatan untuk menghadapinya.
Engkau jualah yang berkuasa untuk membuka pintu hati hambaMu..hanya kepadaMu
aku bertawakal.
Wahai insan yang bergelar dia, jika kewangan itu menjadi halanganmu untuk rehlah bersamaku,
keluar bersamaku, maka aku sedia membantu. Namun, halangan terbesar yang perlu kau
atasi..halangan dalam dirimu..keinginanmu..memilih keseronokan yang palsu atau
kebahagiaan yang hakiki? Keseronokan yang palsu itu adalah keseronokan dengan
perkara dunia manakala kebahagiaan yang hakiki itu hanyalah akan diperolehi
dengan kembali kepada fitrah sebagai seorang hamba..hanya tarbiyah itu yang akan mengajar kau untuk kembali kepada kehidupan bertuhan..
muwasafat tarbiyah ini perlu dijadikan sbg KPI kita |
Tiada sebab
lain untuk aku menukilkan kisah ini melainkan kerana aku menyayangi dia fillah
walaupun pada hakikatnya watak ‘dia’ itu tidak wujud kerana ‘dia’ ialah satu watak
yang aku wujudkan hasil daripada pemerhatianku terhadap sahabat-sahabatku..maka
‘dia’ itu sebenarnya mewakili sahabat-sahabatku. Maafkanku jika aku khilaf
dalam menyampaikan kisah ini. Maafkanku jika kisah ini menyakitkan hatimu..aku
hanyalah insan biasa yang penuh dengan kelemahan sebagai seorang hamba..satu perkara penting yang aku ingin kau sematkan dalam hatimu..aku mencintaimu kerana Allah, moga aku dan kau dapat berpimpin tangan ke syurga bersama-sama, insyaAllah
1 comment:
ahaks... ayat mari berpimpin tgn ke syurga makin byk kdengaran.. sblm niey nak byk diri mgsg2 je kan~ "kubur kan laen2" isk.. quote niey patut dilongkangkan..
Post a Comment