Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...
Pada suatu ketika tersebutlah kisah seorang lelaki yang kaya raya, terlalu sibuk dengan kerjanya, mengumpul harta sehingga melupakan Allah. Lelaki ini tidak pernah menunaikan solat fardhu apatah lagi solat sunat. Maka apabila tiba suatu saat, ditakdirkan oleh Allah lelaki ini jatuh sakit. Penyakitnya ialah penyakit yang tidak mampu disembuhkan. Ketika inilah peluang keemasan bagi isterinya untuk mengajak suaminya kembali pada Allah. Si isteri menyuruh suaminya solat, beristighfar dan sebagainya namun suaminya enggan. Sebelum tiba saat kematiannya, dia berpesan kepada isterinya,”Selepas aku meninggal dunia, kapankan aku dengan kain buruk,” Si isteri kehairanan lalu bertanya,”Tetapi kenapa? Bukankah kita mampu membeli kain kapan yang baru?”
Sebelum ana menghabiskan cerita ini, bolehkan kalian menjangka tujuan si suami berbuat demikian? Ketika ana mendengar kisah ini, ana berpendapat, mungkin si suami telah bertaubat. Tetapi, jangkaan ana meleset sama sekali..
Si suami menjawab kepada sang isteri, “Aku suruh kau buat macam tu supaya malaikat yang menyoal ahli kubur menyangka bahawa mayatku ialah mayat yang sudah lama, maka dia memikirkan bahawa aku telah disoal kerana kain kapanku telah buruk. Jadi, sudah tentu aku terselamat daripada siksa kubur,”
Nauzubillah, moga-moga kita dijauhkan daripada siksaan kubur. Jika kita melihat pada cerita di atas, betapa Allah telah menutup pintu hatinya, walaupun pada saat-saat kematiannya, hatinya sudah tidak mampu untuk dilenturkan.
Ana memetik kata-kata daripada majalah Solusi, perjalanan menuju kematian bermula sebaik sahaja kita dilahirkan. Ya, manusia tidak akan menghadapi kematian sebelum adanya kehidupan. Setiap amalan kita, ucapan kita, penulisan kita akan disoal oleh Allah di akhirat kelak. Sudahkah kita bersedia untuk berhadapan dengan Allah?
Sejak kebelakangan ini, orang yang berada di sekeliling ana diuji dengan kematian ahli keluarga. Ada yang kematian bapa, kematian nenek dan juga kematian abang. Sedangkan abangnya itu masih terlalu muda, jadi ini menunjukkan apa? Kematian tidak mengira usia. Apabila tiba ajalnya maka malaikat maut akan menjalankan tugasnya.
Ana juga pernah membaca satu ayat, sekiranya kamu memerlukan peringatan, cukuplah kematian itu sebagai peringatan bagimu. Kematian akan datang pada bila-bila masa, tanpa mengira usia dan tempat.
Oleh itu, ana mengingatkan diri ana dan juga kalian semua, manfaatkanlah lima perkara ini sebelum datangnya lima perkara, sihat sebelum sakit, lapang sebelum sempit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin dan hidup sebelum mati. Gunakanlah masa yang dikurniakan Allah dengan sebaiknya kerana setiap saat berlalu menunjukkan bahawa kematian itu semakin hampir dengan kita.
Wallahualam, segala yang baik datang daripada Allah, dan yang buruk itu juga datang daripada Allah tetapi disandarkan atas kelemahan ana yang maha lemah ini. Moga penulisan ini mendatangkan manfaat kepada kita semua, insyaAllah..
No comments:
Post a Comment